CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Minggu, 16 Desember 2007

Pembantu rumah robot











MEMBUAT roti bakar adalah antara kemahiran Twendy-One.
Twendy-One akan dikomersialkan pada 2015ROBOT sebagai pembantu rumah? Ketika ini penggunaan robot untuk membantu kerja rumah, apatah lagi menggantikan tugas pembantu rumah sepenuhnya adalah mustahil. Bagaimanapun, siapa tahu apabila teknologi penciptaan robot semakin canggih, ia akan menjadi kenyataan.Jepun sebagai antara negara termaju dalam teknologi robot giat membuat penyelidikan mencipta robot yang mempunyai hubungan erat dengan manusia.
Pembangunan robot yang menepati sifat ini penting, terutama bagi sebuah negara maju seperti Jepun yang menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja dan pada masa sama, golongan tua semakin bertambah.Sehubungan itu, robot yang dapat berfungsi membantu manusia dengan selamat, boleh berkomunikasi dan tangkas bekerja semakin diperlukan.Kebanyakan penyelidikan robot ketika ini lebih menumpukan terhadap aspek hiburan dan hanya sedikit kajian dibuat terhadap penciptaan robot yang memenuhi ciri seperti selamat, boleh diharapkan dan pantas.





BENDA kecil seperti penyedut minuman boleh dipegang dengan baik.
Bagaimanapun universiti penyelidikan terkemuka Jepun, Universiti Waseda, baru-baru ini memperkenalkan Twendy-One, robot yang direka untuk membuat kerja rumah dengan jari dan tangan lembut supaya boleh menggenggam seperti manusia serta menyokong tubuh apabila duduk dan berdiri.Dinamakan sebagai Edisi Abad ke-21, Twendy-One adalah versi canggih robot Wendy yang dimajukan pada 1999.Hasil penyelidikan berterusan, Twendy-One yang lemah lembut membolehkannya memegang sekeping roti tanpa menghancurkannya dan mengangkat orang dari katil.Profesor Shigeki Sugano, yang mengetuai sekumpulan pensyarah kejuruteraan mekanikal Universiti Waseda, berkata Twendy-One adalah robot pertama di dunia yang mempunyai paling banyak sistem bersepadu.


TWENDY-ONE mampu membantu dan mengangkat orang kurang upaya dari katil ke kerusi roda.
Katanya, Twendy-One direka untuk hidup bersama manusia dan setakat ini adalah robot pertama mempunyai enam ciri yang diperlukan untuk mencapai matlamat itu, iaitu selamat, melahirkan sifat persahabatan, berkomunikasi, berkemahiran, mampu melakukan kerja fizikal dan bergerak.Saiz Twendy-One rendah sedikit daripada purata ketinggian wanita Jepun, iaitu 1.5 meter (5 kaki), tetapi seberat 111 kilogram (245 paun), mempunyai tangan panjang, manakala mukanya seperti wajah makhluk asing dalam filem E.T.Penciptaan robot ini mengambil masa hampir tujuh tahun dengan perbelanjaan berpuluh juta ringgit untuk menggabungkan semua ciri teknologi tinggi seperti tangan yang mempunyai 241 pengesan tekanan berbalut silikon, ke dalam robot yang anjal dan lembut.Hasilnya, Twendy-One boleh meletakkan roti bakar di atas pinggan dan mengambil botol kicap dari peti ais apabila disuruh.Robot ini mempunyai kebolehan bercakap dan boleh menyapa manusia dengan ucapan selamat pagi atau selamat menjamu selera.Sugano berkata, Twendy-One direka dan dimajukan menjadi robot yang boleh dikeluarkan secara komersial untuk membantu golongan tua dan mungkin bekerja di pejabat pada tahun 2015 dengan harga kira-kira RM671,000.Walaupun Twendy-One sudah cukup canggih, tetapi perjalanan masih jauh untuk melihat robot ini memenuhi ciri utamanya, iaitu mempunyai hubungan erat dengan manusia.Sugano mengakui bahawa Twendy-One sangat rumit dan masih mempunyai banyak kelemahan seperti bateri hanya tahan selama 15 minit dan komputer di bahagian belakang badan mudah menjadi terlalu panas selepas digunakan.Hanya faktor masa akan menentukan sama ada Twendy-One menjadi sempurna seperti diharapkan oleh Sugano.Ketika masyarakat Jepun ternanti-nanti kemunculan Twendy-One pada tahun 2015, timbul persoalan sama ada masyarakat kita juga akan mengikut jejak negara maju yang memerlukan robot untuk melayan dan menjaga orang tua.

0 komentar: